Sunday 13 July 2014

[SOLUSI 69] Cerita-cerita sejarah dalam al-Quran

AL-QURAN dan al-Sunnah ada rujukan utama Muslim yang saling melengkapi antara satu lain. Kemukjizatan al-Quran diperakui sendiri oleh Allah dan juga manusia melalui pelbagai keadaan khususnya apabila al-Quran tidak mampu diubah walau satu ayat pun meskipun Allah membuka cabaran tersebut kepada kaum kuffar.

Antara ciri ayat dalam al-Quran adalah kisah (qissah) merujuk kepada cerita-cerita yang sudah berlaku di alam ruh, sehingga saat penciptaan Nabi Adam a.s. dan nabi-nabi seterusnya dan juga cerita mengenai masa depan melangkau hingga cerita dalam kubur (alam barzakh), hari akhirat seterusnya keadaan dalam syurga dan juga neraka.

Begitu juga diceritakan mengenai kehebatan tamadun-tamadun manusia yang terdahulu seperti tamadun Mesir kuno, kaum ‘Ad, kaum Thamud, bani Israel, keluarga Imran, Ashabul Kahfi, Ashabul Ukhdud dan lain-lain. Selain daripada itu kisah-kisah kehebatan manusia lampau dalam menentang kebenaran daripada Allah seperti Firaun, Haman, Qarun, Namrud, Yakjuj dan Makjuj dan banyak lagi yang masih belum dapat dirungkaikan sehingga kini juga terakam kemas dalam al-Quran.

Demikian mukjizat al-Quran yang wajib kita imani dengan memperakuinya dengan lidah, mentashdidkan dengan hati dan melaksanakan dengan anggota badan (amalan).

Menurut almarhum Syeikh Dr Faddal Hassan Abbas dalam bukunya Qadāyā Qur’āniyyah fī al-Mawsū`ah al-Briṭāniyyah: Naqad Maṭā`in, wa Raddu Shubahāt (Wacana Al-Quran: Membongkar Dakwaan Palsu Orientalis Terhadap Al-Quran) menyatakan jika dicetak al-Quran itu dalam 400 muka surat, maka ayat mengenai kisah-kisah adalah sebanyak 100 muka surat.

Ini menunjukkan bahawa memang Allah sengaja menjadikan sebahagian daripada al-Quran adalah kisah yakni cerita-cerita yang pernah berlaku dan akan berlaku dengan tujuan khusus yang signifikan.

Pun begitu, cerita-cerita dalam al-Quran mempunyai ciri-ciri khas jika diteliti sebagaimana yang dibahaskan oleh ramai ulama ilmu-ilmu al-Quran antaranya oleh Syeikh Manna‘ Khalil al-Qattan dalam bukunya Mabahith fi `Ulūm al-Qur’ān. Jelas Allah tidak memuatkan kisah-kisah lampau yang kebanyakan tidak dinyatakan secara tepat tarikh dan tempat di mana berlakunya peristiwa tersebut.

Menurut Syeikh Mannā` Khalīl al-Qaṭṭān, ada tiga jenis kisah dalam al-Qur’ān iaitu:

1. Kisah para nabi dan rasul. Kisah ini mengandungi kisah tentang perjalanan dakwah para nabi dan rasul kepada kaum mereka, kisah mengenai mukjizat-mukjizat yang yang memabantu dakwah mereka, sikap orang yang memusuhi mereka, tahapan dan peringkat dakwah, perkembangan serta akibat yang diterima oleh mereka yang mempercayai dan menentang dakwah tersebut. Misalnya kisah Nabī Nūḥ, Ibrāhīm, Mūsā, Harūn, `Ῑsā, Muḥammad dan para nabi dan rasul yang lain.

2. Kisah-kisah yang berhubung kait dengan peristiwa yang sudah berlalu pada masa lalu dan sesetengah manusia yang tidak dipastikan kenabian mereka. Misalnya kisah orang yang keluar daripada kampungnya, dengan jumlah beribu-ribu ramainya kerana takut mati, kisah Ṭālut dan Jālut, dua orang anak Nabī Adam, pemuda yang bersembunyi di dalam gua (Aṣḥāb al-Kaḥfī), Zulqarnain, orang-orang yang menangkap ikan pada hari Sabtu (Aṣḥāb al-Sabti), Maryam, Aṣḥāb al-Ukhdūd, Aṣḥāb al-Fīl dan banyak lagi.

3. Kisah-kisah yang berhubungan dengan kisah yang berlaku pada zaman Rasūlu’Llāh ṣalla’Llāhu `alayhi wasallam, seperti perang Badar, perang Uhud dalam Sūrah `Ali `Imrān, perang Hunayn dan Tabuk dalam Sūrah al-Tawbah, perang Aḥzab dalam Sūrah al-Aḥzāb, al-Ḥijrah, al-Isrā’ dan lain-lain.

Analisis Kisah-kisah al-Quran

Pendek kata, manhaj penceritaan kisah dalam al-Quran tidak menjawab teknik 5W1H (what, when, where, who, why dan how) yang diguna pakai pada hari ini oleh para sejarawan dan juga wartawan namun mempunyai maqsad (tujuan/matlamat) yang lebih besar daripada itu.

Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: “Kami menceritakan kepada kami kisah-kisah yang terbaik.” (Surah Yusuf, ayat 3)

Dr Abd al-Karim Zaydan dalam kitab al-Mustafad min Qasas al-Quran (Hikmah-hikmah daripada Kisah-kisah dalam al-Quran) mendatangkan keterangan mengenai ahsan al-qasas (kisah terbaik) dengan mendatangkan keterangan daripada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. yang menyatakan bahawa maksud ahsan al-qasas ini adalah mencangkupi keseluruhan cerita-cerita dalam al-Quran itu sendiri dan tidak dilimitkan hanya pada Surah Yusuf sahaja.

Syeikh Mahmud bin Ahmad bin Salih al-Dosari dalam`Aẓīmat al-Qur’ān al-Karīm mengatakan bahawa kisah-kisah yang dipaparkan dalam al-Qur’ān bukan hanya untuk sesuatu yang berkaitan dengan sejarah, bagi mengenang orang-orang dahulu atau berhibur dengannya semata-mata, ini kerana antara tujuannya adalah:
  1. Menetapkan keesaan Allah dan mengandungi perintah untuk menyembah Allah,
  2. Mengukuhkan wahyu dan kerasulan,
  3. Menetapkan hari kebangkitan dan hari pembalasan,
  4. Meneguhkan hati Nabi s.a.w. dan umatnya,
  5. Pelajaran daripada para rasul dan umat mereka,
  6. Menerangkan tentang balasan terhadap umat terdahulu dan pengakhiran mereka,
  7. Mendidik kaum Muslimin,
  8. Menyeru kepada kebaikan dan pemulihan serta menjauhkan kerosakan,
  9. Melawan rasa putus asa dengan kesabaran,
  10. Menerangkan kekuasaan Allah melalui mukjizat, dan
  11. Menerangkan kurniaan Allah terhadap para nabi dan rasul yang terpilih.
Bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Sungguh, pada kisah-kisah mereka itu ada pengajaran (`ibrah) kepada mereka yang mempunyai akal (Ulil Albab).” (Surah Yusuf, ayat 111)

Sudut pandangan tamadun

Meskipun jelas dalam perbahasan di atas akan matlamat dan tujuan pemaparan kisah-kisah sejarah dalam al-Quran namun di sana ramai sarjana dan cendekiawan Muslim cuba merungkai dan mengkaji dengan lebih mendalam melalui pelbagai perspektif sama ada daripada perspektif ilmu sejarah dan tamadun, kesusasteraan dan juga sains kemanusiaan.

Sebagai contoh, aspek sejarah dan tamadun di sebalik kisah-kisah kehebatan bangsa dan umat manusia terdahulu yang dikaitkan dengan peninggalan-peninggalan yang sebahagiannya masih ada pada hari ini. Bagi pengkaji yang cenderung mengkaji tentang sosiologi dan cabang-cabangnya juga mengambil manfaat daripada paparan kisah-kisah tersebut bagi memahami tabiat dan kesemulajadian umat terdahulu.

Antara cirinya lagi adalah:
  • Merakam ragam manusia terdahulu dalam pelbagai watak, kesannya terhadap tingkah laku, sikap dan cara interaksi dengan yang lain.
  • Bagaimaman sikap manusia dalam berinteraksi dengan harta dan kedudukan keduniaan (apabila berada di puncak kehebatan sesebuah tamadun).
  • Hakikat ilmiah (ilmu sains) mengenai manusia, alam, flora dan fauna, bumi, langit, bebintang termasuk teknologi hebat zaman dahulu yang hanya tersingkap pada masa moden kini.
Demikian mafhum pandangan Dr Abd al-Karim Zaydan dalam beberapa poin dalam mukadimah kitabnya itu di bawah keterangan Hikmah Kisah-kisah dalam al-Quran.

No comments:

Post a Comment