Sunday 13 July 2014

[SOLUSI 67] Tamadun daripada perspektif tiga bahasa dan sarjananya

BANGSA ARAB sebelum kedatangan Islam digelar jahiliyyah. Banyak ayat al-Quran dan juga al-hadis menisbahkan golongan Arab pra-Islam itu sebagai jahiliyyah. Bahkan ada yang menyatakan bahawa jahiliyyah adalah bermaksud tidak bertamadun.

Terlebih dahulu, sebelum merungkai lebih dalam tentang persoalan ini adalah wajar kita memahami apakah maksud tamadun itu? Apakah kayu ukur bagi sesuatu masyarakat digelar sebagai masyarakat bertamadun? Benarkah semua manusia sebelum kedatangan Islam berada dalam keadaan tidak bertamadun?

Menurut bahasa Melayu dan sarjananya

Mustafa Haji Daud dalam buku Tamadun Islam mendatangkan kefahaman terhadap istilah tamadun daripada tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Teuku Iskandar dalam Kamus Dewan menyatakan tamadun adalah kebudayaan, peradaban, kemajuan, sopan-santun dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, beberapa orang sarjana seperti almarhum Dr. Uthman el-Muhammady dan Prof. Madya Dr. Ismail Hamid menggunakan istilah peradaban bagi menyentuh perbincangan yang berkaitan langsung dengan tamadun.

Dr. Uthman el-Muhammady telah menulis buku berjudul Peradaban Islam manakala Prof. Madya Dr. Ismail Hamid menulis naskhah berjudul Peradaban Melayu dan Islam. Abu Bakar Hamzah pula menulis karya berjudul Sejarah Kebudayaan Islam, beliau menyatakan perkataan tamadun berasal daripada bahasa Arab yang kemudian diserap sebagai kosa kata bahasa Melayu.

Bagi Abu Bakar Hamzah, tamadun itu lahir serenta dan seiring dengan perkembangan kehidupan manusia dari semasa ke semasa dalam bentuk pemikiran dan kebendaan.

Definisi oleh Mahmood Mohd Taib al-Najmi juga menarik, beliau mengatakan tamadun adalah pengaturan masyarakat yang dapat membantu manusia menambahkan hasil pengeluaran sama ada dari segi pemikiran atau kebendaan.

Secara umum boleh dirumuskan bahawa tamadun atau peradaban adalah berkaitan dengan satu tahap pencapaian tertinggi manusia dari segi jasmani (material) dan juga kerohanian (spiritual). Lebih tepat lagi adalah keseimbangan antara kedua elemen tersebut.

Menurut bahasa Inggeris dan sarjananya

Dalam bahasa Inggeris, perkataan tamadun sering diterjemahkan sebagai ‘civilization’. S. Khuda Bukhsh dalam bukunya Contribution to The History of Islamic Civilization menyatakan ‘civilization’ berasal daripada perkataan ‘civic’ yang membawa maksud kehidupan kota. Justeru, ‘civilization’ dinisbahkan sebagai pencapaian dalam pelbagai bidang dalam kehidupan manusia di kota.

Pengertian tersebut selari dengan pandangan Arnold Toynbee dalam buku A Study of History yang menjelaskan tamadun adalah satu bentuk kebudayaan yang berkembang dalam kota. Tambahnya lagi, “Satu kumpulan pemikiran dari berbagai-bagai manifestasi, orientasi yang berterusan, satu gaya kebudayaan yang bertanggungjawab membentuk institusi politik, kesusasteraan, agama dan moral.”

Bagi A.S. Hornby dan E. C. Parnwell dalam The Progressive English Dictionary menjelaskan civilization adalah meningkatnya pencapaian hidup manusia daripada kemunduran kepada kemajuan dalam bidang ilmu, sains,teknologi, politik, moral, dan sebagainya.

Will Deorand dalam bukunya History of Civilization pula mengatakan tamadun adalah sistem sosial yang digunakan oleh manusia bagi meninggikan nilai kebudayaan. Ia juga adalah satu kemajuan atau ciptaan baru yang dilahirkan oleh satu-satu umat bagi menjadikan kehidupan mereka lebih aman dan tenteram.

Lebih menarik lagi menurut M. E. J. Beg , kalimah renaissance digunakan dalam bahasa Inggeris sebelum civilization mula digunakan. Namun renaissance lebih sesuai digambarkan sebagai kebangkitan, ini sebagaimana yang dihujahkan oleh Adam Mets dalam bukunya The Renaissance of Islam.

Culture juga ada digunakan bagi menggambarkan dan membincangkan mengenai tamadun, V. V. Bartold antara penulis yang menggunakan istilah tersebut dalam bukunya yang berjudul Mussulman Culture. Namun ia dinilai tidak sesuai dan tetap civilization lebih sesuai dalam konteks keluasan perbincangan ketamadunan yang budaya sekali gus menjadi sub-topik perbincangan.

Apapun, meskipun ada perbezaan daripada penggunaan istilah, kesimpulan yang boleh dibuat secara umum adalah tamadun meskipun dinisbahkan dengan kalimah renaissance, culture dan civilization – semuanya tetap berpusat kepada perbincangan mengenai pencapaian pemikiran (batin) dan kebendaan (zahir) yang berpusat di kota.

Menurut bahasa Arab dan sarjananya

Sebelum kalimah tamadun digunakan, terlebih dahulu dalam karya beberapa orang sarjana Muslim antara seperti Ibn Khaldun sekitar abad ke-14 melalui karya magnum opusnya, al-Muqaddimah menggunakan istilah umran dalam membincangkan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan ketamadunan.

Selain daripada itu, Ibn Khaldun juga menggunakan kalimah hadharah bagi membincangkan mengenai sesuatu kelompok masyarakat yang menetap di suatu tempat, kota, wilayah atau tanap pertanian yang kemudian disamaertikan juga dengan maksud tamadun itu sendiri.

Perkataan hadharah agak mendapat tempat dalam kalangan sarjana Muslim kemudiannya, seperti oleh Kurdi Ali apabila beliau menulis karyanya yang berjudul Al-Islam wa al-Hadharah al-Arabiyah , di sini menurut M. A. J. Beg kalimah hadharah lebih tepat diterjemahkan sebagai kebudayaan atau culture dalam bahasa Inggeris.

Sama ada hadharah mahupun umran, kedua-duanya mempunyai maksud yang sama dan keduanya pula berkait langsung dalam perbincangan tamadun. Cumanya umran lebih popular bagi diguna pakai sekitar abad ke-14 manakala hadharah pula dipakai secara meluas pada abad ke-20.

Abu Nasir al-Farabi (m. 350H) juga pernah mempopularkan istilah al-madaniyah pada abad ke-11M dalam kitabnya al-Siyasah al-Madaniyah. Kata ini berasal dari perkataan madinah yang bermaksud kota. Madaniyah bermaksud cara gaya kehidupan yang berasaskan akidah, syarak dan akhlak.

Madaniyah juga diterima pakai oleh sarjana besar lain seperti Muhammad Farid Wajdi pada abad ke-20 dalam tulisannya yang berjudul al-Madaniyah wa al-Islam dan juga Shaykh Muhammad Abduh dalam risalahnya al-Islam wa al-Nas wa al-Ilm wa al-Madaniyah dan Tafsir al-Mannar.

Istilah tamadun dikenal pasti digunakan secara meluas pada abad ke-19 sekali gus menggantikan semua istilah yang dipakai sebelumnya kerana maknanya yang lebih luas dan merangkumi segala perbincangan yang berkaitan dengan umran, hadharah dan madaniyah. Antara sarjana yang kerap menggunakan istilah tersebut adalah Jurji Zaydan dalam karyanya Tarikh al-Tamaddun al-Islam sebanyak lima jilid.

Wasatiyah adalah tamadun

Apapun istilahnya, ia membawa maksudnya yang hampir sama namun berlainan ruhnya kerana tamadun Islam adalah tamadun yang tertegak atas kalimah tauhid yang tidak pernah ada dalam edisi tamadun-tamadun lain sebelum atau selepasnya hingga pada hari ini.

Kesimpulannya, menurut Mustafa Haji Daud tamadun Islam ialah pencapaian manusia dalam bidang kerohanian dan kebendaan yang berpusat di kota dalam bentuk skrip, seni bina, ilmu pengetahuan, sains, teknologi, kepercayaan, undang-undang, politik dan sebagainya yang berasaskan akidah, syarak dan akhlak yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.

Saya percaya saripati kehebatan dan keagungan Islam ada pada tiga kalimah yang wujud dalam al-Quran dan diterjemahkan melalui al-Sunnah iaitu – al-wasath, al-hikmah dan al-`adl. Insya-Allah kita akan bahaskan pada siri seterusnya.

No comments:

Post a Comment