Sunday 13 July 2014

[SOLUSI 64] Nalar sumber keagungan tamadun dan peradaban Islam

PROF DR HAMKA dalam buku Renungan Tasawuf Manisnya Iman merumuskan, tamadun yang dicapai oleh Barat pada hari ini adalah saripati daripada pelbagai tamadun yang terbina sebelumnya seperti tamadun Yunani, Greek-Romawi, Zaman Pertengahan, Renaisanse dan Zaman Baru. Kesemua tamadun tersebut mempunyai satu sumber isi yang sama iaitu akal.

Di Timur, juga terbina tamadun-tamadun besar saripati daripada pelbagai aneka rencam isi. Bermula daripada tamadun China dan India klasik, Parsi, Babylon, Mesir kuno, Arab pra-Islam dan seumpama. Kesemuanya pula secara umum berasaskan satu nalar isi iaitu khayal.

Sebahagian daripada bukti kehebatan material tamadun-tamadun tersebut, di Barat mahupun di Timur masih dapat dilihat sehingga pada hari ini meskipun sebahagian besarnya sudah musnah. Monumen-monumen dan artifak-artifak antara perkara yang menjadi bahan rujukan dalam kajian.

Justeru, jika hanya dilihat kepada pembangunan material berdasarkan peninggalan-peninggalan ini ternyata khazanah warisan Islam tidaklah sebanyak warisan bukan Islam meskipun tamadun Islam bermula dan berkembang selama hampir 1300 tahun lamanya.

Apa yang lebih penting, pengisian sebenar tentang sumber pembangunan tamadun Islam sehingga berjaya dalam masa yang singkat menjadi kuasa besar dunia dalam bidang politik dan ekonomi dunia adalah kerana Islam meletakkan pembinaan manusia melebihi daripada pembinaan material.

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam dan Sains (CASIS), UTM buat sekian lama menegaskan bahawa tamadun Islam memfokuskan pembinaan insan yang kamil dan beradab tinggi.
Insan yang sempurna dan berakal budi ini pula hanya dapat dilahirkan daripada tradisi keilmuwan yang benar, yang berakar kepada al-Quran dan al-Sunnah serta gabungan terbaik antara akal dan khayal.

Nalar sumber pembinaan tamadun dan peradaban Islam

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara, tidak akan sesat selagi mana kalian berpegang akan keduanya – kitab Allah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya (al-hadith).” (HR Imam Malik dalam al-Muwatta’)

Islah dalam diri dan permulaan ketamadunan Islam bermula apabila Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu daripada Allah tatkala umurnya sudah mencecah umur 40 tahun. Sepanjang 40 tahun sebelumnya, pelbagai peristiwa yang dihadapi oleh Baginda sebagai proses persediaan bagi mempersiapkan diri menjadi seorang rasul, malah sebagai rasul yang terakhir (khataman nubuwwah).

Permulaan pembinaan tamadun Islam Bermula dari saat Rasulullah s.a.w. menerima wahyu yang pertama sehingga wahyu terakhir dan menghembuskan nafas terakhir, proses ini hanya memakan masa 23 tahun sahaja berbanding tamadun-tamadun yang memakan masa lebih lama.

Dengan pembinaan tapak tamadun sesingkat 23 tahun itu, Baginda berjaya membawa Islam ke seluruh dunia dan bertahan sampai ke hari ini malah menjadi pusat kepada ketamadunan dunia selama 1300 tahun kemudiannya.

Namun tiada monumen hebat dan gah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. yang kekal hingga ke hari ini melainkan dua perkara yang disebutkan di atas serta generasi salafus salih yang sudah dipuji oleh Baginda s.a.w. sendiri dalam sabdanya yang bermaksud: “Kurun yang terbaik adalah kurunku, kurun selepasnya, kurun selepasnya.” (HR Muslim)

Rasulullah s.a.w. berjaya membina insan mulia yang kamil dan layak menjadi contoh tauladan melalui tiga generasi awal yang pertama. Mereka mempunyai akhlak yang hampir sempurna hasil daripada tarbiyah langsung daripada Rasulullah s.a.w., sahabat Baginda, anak murid kepada sahabat Baginda (tabi`in) dan anak murid kepada anak murid sahabat Baginda s.a.w (tabi` tabi`in).

Sunnah adalah obor kehebatan tamadun dan peradaban Islam

Bermula daripada kematian ibu bapa ketika kecil, dipelihara pula oleh datuknya Abdul Mutalib yang merupakan pemuka Quraisy Makkah, Nabi Muhammad terdedah dengan suasana kepemimpinan serta politik seawal umurnya belasan tahun kerana sering mendampingi datuknya dalam bermuamalat dengan pelbagai pihak khususnya kaumnya sendiri. Datuknya meninggal dan Baginda dijaga pula oleh pakciknya, Abu Talib yang merupakan seorang peniaga.

Bersama dengan Abu Talib, Nabi Muhammad s.a.w. selain mengambil upah menjaga kambing juga terlibat sebagai pembantu kepada Abu Talib dalam perniagaan sehingga Baginda sendiri memulakan perniagaan. Kemuncak kepada kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. adalah apabila beliau mengahwini antara sahibul mal (pemodal) terbesar di kota Makkah pada masa itu, Sayidatina Khadijah Binti Khuwailid ketika berumur 25 tahun.

Namun dari saat itu, seakan-akan ada lompong yang tidak terisi apabila kisah mengenai Baginda bermula dari Baginda berumur 25 tahun hingga 40 tahun tidak banyak diceritakan sama ada dalam hadith mahupun kitab sirah. Sedangkan 15 tahun tersebut adalah jangka masa yang panjang dan penting sebelum Baginda menerima wahyu pada umur 40 tahun selepasnya. Persoalannya, apakah yang menjadi aktiviti utama Baginda sepanjang tempoh tersebut?

Justeru bagi mendalami rahsia-rahsia di sebalik sirah dan mengembalikan kegemilangan zaman tersebut, umat Islam pada hari ini tiada jalan lain melainkan benar-benar menelaah dan mentadabbur al-Quran dan al-Sunnah serta memahami tafsiran kefahamannya.

Selain daripada itu, sejarah para rasul dan nabi khususnya Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya serta para ulama salafus salih termasuk para alim ulama cendekiawan Islam sepanjang zaman wajar ditadabburkan, dianalisis dan dicerap bagi dijadikan panduan dan peta perjalanan umat terkemudian ini.

Bagaimana mungkin seseorang Muslim itu menyatakan ia berjuang untuk menegakkan Islam namun dalam masa yang sama mereka tiada ilmu pengetahuan mengenai al-Quran dan al-Suunah serta cabang-cabangnya termasuk ilmu-ilmu semasa yang terus berkembang dari semasa ke semasa.

Al-Quran dan al-Sunnah sumber sebenar kebangkitan umat 

Generasi Rasulullah s.a.w. dan para salafus salih meninggalkan sumber ilmu dan ia benar-benar adalah warisan yang menjadikan umat Islam lebih unggul berbanding agama-agama lain yang sudah diseleweng kitab-kitab rujukan mereka. Sedangkan al-Quran dan al-Sunnah itu terpelira kerana secara hakikatnya ia adalah daripada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya (menjaganya).” (Surah al-Hijr, ayat 9)
Kemudian Allah berfirman mengenai al-Sunnah yang bermaksud: “Dan dia (Nabi Muhammad) tidak berkata-kata menurut hawa nafsu (kemahuan dan pendapatnya sendiri). Segala yang dia katakan (sama ada al-Quran ataupun al-Sunnah) tiada lain melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya.” (Surah al-Najm, ayat 3-4).

No comments:

Post a Comment