Sunday 13 July 2014

[SOLUSI 65] Rahsia besar di sebalik keagungan

ALMARHUM al-Syahid Syed Qutb dalam bukunya yang berjudul Ma`allim fi al-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) dalam membahaskan mengenai Islam dan ketamadunan meletakkan tajuk al-Islam Huwa al-Hadharah sebagai satu bab besar dalam buku tersebut. Beliau menegaskan hanya selepas Islam datang, orang Arab jahiliah telah mengislahkan diri mereka secara total daripada kegelapan kepada cahaya kegemilangan.

Dalam masa hanya 23 tahun selepas wahyu yang pertama turun, Nabi Muhammads s.a.w. berjaya meninggalkan legasi kerohanian dan material yang menjadi sumbu kepada kegemilangan tamadun Islam 1400 tahun kemudiannya.

Peperangan menjadi resam bagi masyarakat dunia pada masa itu sama ada bagi mempertahankan diri daripada musuh ataupun menyerang bagi peluasan kawasan jajahan takluk. Justeru umat Islam yang kemudian berdaulat di Madinah juga perlu mengharungi peperangan demi kelangsungan Islam di atas muka bumi ini.

Rasulullah s.a.w. sendiri terlibat dan menjadi komander kepada peperangan yang mereka sertai. Peristiwa Fathul Makkah ataupun pembukaan kota Makkah adalah peristiwa yang sangat dikenang dalam sejarah Islam kerana kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. merampas kota Makkah daripada musyrikin Makkah tanpa menitiskan setitik darah malah berjaya mengislamkan majoriti penduduk Makkah pada masa itu.

Ini menunjukkan bahawa peperangan yang berlaku bukan atas kemahuan yang disengajakan oleh umat Islam khususnya Rasulullah s.a.w., namun ia dilaksanakan atas dasar keperluan yang pelbagai khususnya bagi mempertahankan kedaulatan diri dan tanah air terutamanya kesucian Islam sebagai sebuah agama yang suci.

Islam tersebar melalui mata pedang?

Beberapa siri peperangan yang terpaksa dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w., kemudian Khalifah al-Rasyidin dan seterusnya khilafah-khilafah yang terbina atas nama Islam telah dijadikan hujah oleh para Orientalis bahawa Islam tersebar dengan hujung pedang yakni melalui peperangan.

Justeru, Islam adalah kontra dengan apa yang didakwa daripada ajarannya yang mengajarkan manusia kepada keselamatan, kedamaian, kesejahteraan, kesaksamaan, kerukunan dan lain-lain sesuai dengan kalimah Islam yang berasal daripada kalimah ‘salam’ itu.

Perlu diakui bahawa memang Islam terlibat dengan peperangan malah melalui banyak peperangan yang dimenangi oleh merekalah agama Islam terus berkembang dan berkembang seperti selepas kejatuhan Rom dan Parsi pada peringkat awal tahun hijrah.

Di sinilah menariknya tentang Islam kerana, dakwaan mengenai Islam adalah agama yang berkembang semata-mata melalui mata pedang itu ternyata dapat dipatahkan dengan hujah-hujah ilmiah daripada catatan sejarah juga sebagainya yang dinukilkan oleh Dr Zakir Abdul Karim Naik dalam bukunya, 20 Most Common Question About Islam.

Islam direkodkan sampai ke Negeri China seawal abad hijrah bermula lagi dan ini dibuktikan dengan wujudnya kubur sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Sa‘ad bin Abi Waqas r.a. di sana.
Begitu juga di Nusantara, meskipun masih menjadi khilaf antara sejarawan tentang tarikh sebenar dan dari mana Islam sampai namun hakikatnya kedatangan Islam benar-benar mengubah wajah zahir dan batin Nusantara.

Para Orientalis yang khusus mengkaji mengenai Nusantara antara lain berteori bahawa Islam datang dari benua India, ada yang mengatakan dari China dan kebanyakannya menyatakan ia dibawa oleh pedagang yang kemudian berdakwah.

Namun kenyataan para Orientalis dibantah oleh seorang pemikir dan sarjana besar bidang sejarah, tamadun dan falsafah Islam, YM Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mengatakan banyak bukti menunjukkan bahawa Islam yang diterima di Nusantara adalah dari Yaman dan dibawa oleh para pendakwah yang merantau memang bagi menunaikan tanggungjawab kewajipan sebagai Muslim dan ulama iaitu berdakwah dan menyebarkan risalah Islam ke seluruh muka bumi.

Daripada menganut kepercayaan paganisme dan animisme, kemudian Hindu-Buddha dan seterusnya Islam datang ke Nusantara membentuk satu fenomena baru apabila berjaya mengubah majoriti masyarakatnya beragama Islam malah mencatat sejarah kegemilangan tamadunnya yang tersendiri.

Ternyata tiada satu pun rekod yang menyebut para pendakwah Islam yang terdiri daripada alim ulama pada masa itu terlibat dengan mana-mana peperangan dalam usaha menebarkan dakwah Islam sehingga berjaya menyampaikannya ke seluruh ceruk Nusantara termasuk berjaya menyampaikan risalah Islam ke dalam istana-istana pemerintah.

Kini, China dan Nusantara memiliki umat Islam yang ramai malah lebih ramai daripada umat Islam berbangsa Arab di negara-negara Arab.

Ilmu dan budaya ilmu adalah kunci sebenar kehebatan Islam

Islam adalah satu-satunya agama yang mewajibkan penganutnya berilmu. Ini jelas melalui banyak ayat al-Quran yang menyatakan mengenai kelebihan ilmu dan para ilmuwan serta martabat mereka yang tidak sama dengan orang awam di sisi Allah di dunia dan akhirat. Demikian juga banyak hadith-hadith sahih Nabi Muhammad s.a.w.

Di sini jika direnungkan mengapa kalimah yang pertama, dalam ayat yang pertama dan surah yang pertama diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah – Iqra’. Jika wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi baginda menjadi seorang Muslim dan juga beriman, mengapa tidak wahyu yang pertama adalah – Islamlah kamu wahai Muhammad atau Berimanlah kamu wahai Muhammad, akan tetapi kenapa Iqra’ yakni bacalah yang dipilih?

Malah pada hadith-hadith yang berkaitan dengan akidah direkodkan Nabi Muhammad s.a.w. memulakan dengan kalimah “fa‘lam annahu la Ilaha illah Allah” yang bermaksud maka ketahuilah (atau lebih tepat adalah tahu dan kenal akan hakikatnya) olehmu tiada Tuhan melainkan Allah.

Penyusunan kitab hadith utama dan dianggap sebagai hujah yang sarih kedua selepas al-Quran yakni Sahih al-Jami‘ oleh Imam al-Bukhari r.h. atau lebih dikenali sebagai Sahih Bukhari, beliau memulakan penyusunan dengan bab ilmu dan kepentingan terlebih dahulu. Ini termasuk juga kitab panduan hidup zahir dan batin dalam beragama yang menjadi fenomena sepanjang zaman oleh Imam al-Ghazali r.a., Ihya Ulumuddin juga dimulakan dengan bab ilmu dan kepentingannya.

Jelas di sini bahawa seorang Muslim tidak boleh jahil. Sebagai buktinya lagi jika seorang yang pada asalnya lahir sebagai bukan Muslim dan ingin menganut agama Islam, mereka terlebih dahulu perlu belajar mengucap dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab dan memahami maksudnya dalam bahasa yang difahami oleh mereka dan kemudian berusaha mengucapkannya barulah dikira sah mereka sebagai seorang Muslim.

Ini adalah proses perpindahan ilmu dan ia tidak boleh dilakukan seorang diri kerana mereka perlu belajar cara menyebut dua kalimah syahadah sebaik yang mereka boleh sambil memahami maknanya daripada seorang guru.

Perkembangan ilmu dan ilmuwan Islam

Bermula daripada al-Quran dan cabang-cabang disiplin ilmunya yang lahir kemudian, seterusnya perekodan hadith yang kemudian bercambah menjadi satu bentuk disiplin ilmu yang begitu saintifik, disiplin ilmu Islam yang berpunca daripada al-Quran dan al-hadith terus berkembang sehingga pada hari ini. Daripada keduanya muncul pembagai aliran mazhab fiqh hasil daripada kefahaman-kefahaman para imam mazhab khususnya mazhab empat yang kekal hingga pada hari ini.

Budaya ilmu dalam Islam yang tertegak atas nas dan hujah serta dalil-dalil naqli dan aqli menyebabkan budaya ilmu dan membaca serta budaya menulis dalam kalangan para ulama/sarjana Muslim menjadi satu fenomena sepanjang sejarah ketamadunan dunia dan manusia.

Sehinggakan bukan hanya sejarah dan sumbangan para alim ulama dan sarjana Muslim sama ada dalam bentuk penulisan dan reka cipta yang ditinggalkan tidak dapat ditampung dengan penulisan, biografi dan kisah perjalanan kehidupan para alim ulama dan sarjana Muslim ini juga kemudian ditulis sehingga melahirkan berjilid-jilid karya yang menjadi rujukan sehingga pada hari ini.

Penulisan biografi sekali gus menjadi satu daripada cabang penulisan dan ilmu sejarah yang penting apatah lagi jika tokoh-tokoh yang dibincangkan adalah daripada kalangan sahabat, tabi‘in, tabi‘ tabi‘in yang dinisbahkan meriwayatkan hadith-hadith daripada sanadnya bersambung hingga kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Antara kitab penting berbentuk biografi para ulama dan sarjana Muslim muktabar adalah Siyar A‘lam al-Nubala’ dan Tazkirat al-Huffaz karya Imam al-Zahabi r.h., al-Bidayah wa al-Nihayah karya Imam Ibn Kathir r.h. dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment