Sunday 13 July 2014

[SOLUSI 66] Tiang seri sebuah tamadun

TAMADUN ISLAM mendapat manfaat yang besar daripada tamadun-tamadun agung lain sebelum kedatangannya. Pengaruh tamadun-tamadun bangsa yang hebat dari sudut materinya kemudian menjadi satu daripada acuan membentuk pemikiran dan peradaban Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah itu.

Sebelum tamadun Islam bangkit menjadi orientasi baru dalam ketamadunan dan peradaban dunia, terlebih dahulu tamadun Mesir kuno, Babylon, Rom-Greek, Parsi, India, China sudah melalui era kegemilangan dan keruntuhan silih berganti. Rangkuman kesemua unsur tamadun inilah yang kemudian dimanfaat oleh Barat pada era kebangkitan mereka.

Pengaruh dan pengambilan unsur-unsur daripada tamadun agung sebelumnya merupakan proses biasa bagi sebuah pembangunan tamadun. Ketika awal Islam berkembang ke seluruh dunia khususnya pada era Khulafa al-Rasyidin yang berjaya menjatuhkan Rom dan Parsi, maka proses intergrasi dan asimilasi kebudayaan dan ilmu berlaku secara besar-besaran.

Semakin ramai bukan Arab (a‘jami) masuk Islam khususnya daripada golongan ahli kitab Nasrani dan juga Yahudi. Bukan sahaja daripada kaum ahli kitab, mereka yang beragama Zorostrian, Majusi dan mereka yang tidak beragama juga mula memeluk Islam.

[Rujukan: Prof Dr Muhammad Zainy Uthman (2012), Pemikiran dan Pembinaan Tamadun: Transformasi Modal Insan ke Arah Negara Maju, Kuala Lumpur: Casis UTM, h. 3]

Asimilasi, intergrasi dan Islamisasi

Kemajmukan para penganut agama Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan negara membawa kepada dimensi baru dalam pelbagai aspek dalam cara gaya beragama, pemikiran, kebudayaan, keilmuan dan sebagainya.

Menurut Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah dalam buku Pemikiran Islam Klasik: Pengaruh Falsafah Yunani dan Kebangkitan Gerakan Tajdid, pengalihan pusat pemerintahan oleh Khalifah Muawiyyah bin Abi Sufyan r.a. (pengasas khilafah Umawiyyah) dari kota Madinah ke kota Damsyik telah membuka ruang bagi asimilasi budaya dan intergrasi ilmu berlaku dengan pesat.

Ini kerana kota Damsyik yang asalnya di bawah pemerintahan Greek-Rom adalah sebuah kota yang banyak dihuni oleh para ahli kitab daripada kalangan Nasrani. Majoriti daripada para agamawan dan cendekiawan Nasrani yang kemudian memeluk Islam membawa juga doktrin-doktrin agama lama mereka dalam amalan dan kefahaman Islam.

Perkahwinan campur dengan pelbagai bangsa serta penterjemahan karya-karya agung dalam bahasa Yunani khususnya dalam bidang falsafah yang berusia ribuan tahun dilakukan dengan agak agresif ke dalam bahasa Arab.

Bukan sahaja daripada bahasa Yunani kuno, namun daripada bahasa Parsi, India dan China juga dilakukan kemudiannya pada zaman khilafah Abbasiyyah oleh Khalifah Harun al-Rasyid dan al-Ma’mum sehingga tertubuhnya pusat keilmuan yang teragung dalam sejarah tamadun Islam – Bayt al-Hikmah.

Meskipun Islam telah berkembang dengan begitu meluas, namun kerana al-Quran dan al-hadis yang menjadi sumber utama dalam Islam adalah dalam bahasa Arab malah Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat baginda adalah majoriti berbangsa Arab, maka yang menyatukan seluruh kepelbagaian itu juga adalah akidah dan syariat Islam serta bahasa dan bangsa  Arab.

Asabiyah yang terpuji

Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah secara jelas menyatakan, antara kekuatan sesebuah tamadun itu adalah kerana sifat asabiyah bangsa utama dalam sesebuah pemerintahan. Semangat kekitaan yang disemai bagi segala urusan kebaikan bukan sebaliknya. Mengutamakan kaum kerabat dan bangsa sendiri dalam urusan melaksanakan kebaikan dan tidak sekali-kali berkompromi dalam perkara yang membatasi syarak.

Tidak ada satu bangsa dan tamadun yang terbina kukuh dan mencapai kegemilangan tanpa kesatuan yang utuh daripada kelompok bangsa teras dalam sesuatu masyarakat apatah lagi majoriti penganut agama Islam pada peringkat awalnya adalah berbangsa Arab.

Ibn Khaldun adalah ilmuwan pertama yang membuktikan secara saintifik bagaimana asabiyah menjadi sifat penting dalam sesebuah masyarakat. Asabiyah dinisbahkan sebagai satu unsur dalaman yang berpengaruh menyatu dan memusatkan perpaduan.
Selain daripada itu konsep tersebut juga boleh dikaitkan dengan konsep wahdat al-fikr iaitu kesatuan pemikiran dan wahdat al-hadaf  iaitu kesatuan matlamat. Asabiyah pada pengertian Ibn Khaldun adalah citarasa perpaduan yang bertunjangkan rasa cinta, kasih sayang, hormat menghormati dan rasa kepunyaan kepada apa yang diperjuangkan.

Perjuangan yang bersifat dan cenderung kepada kepentingan habuan material dan keduniaan tidak termasuk dalam asabiyah yang dibincangkan oleh Ibn Khaldun. Demikian, asabiyah juga boleh dieertikan dalam bahasa Inggeris sebagai ‘fraternite’ atau ‘solidarity’.

Asabiyah yang dicela

Sering kali juga asabiyah disalah anggap dan disalah guna menjadi alat kepada kepentingan keduniaan dan material sehingga merosakkan fungsi asabiyah yang sebenar. Perpecahan dalam kesatuan atau asabiyah akan membawa padah sekali gus mudarat dan seterusnya membawa kepada keruntuhan sebuah tamadun dan peradaban.

Perlu difahami juga bahawa asabiyah yang bersifat sempit berisiko melahirkan fahaman nasionalisme dan etnik yang sempit sehingga menggugat keharmonian masyarakat majmuk. Asabiyah jenis ini adalah jenis semangat kekitaan yang menafikan hak bangsa dan kumpulan lain.

Fahaman etnik sempit juga akan menyebabkan ketidakadilan berlaku atas nama perbezaan warna kulit dan rupa yang mana telah dinyahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dari awal kerasulan Baginda lagi. Justeru, boleh dikatakan bahawa nilai asabiyah yang baik adalah bermanfaat bagi dipraktiskan malah menjadi satu rukun dalam membangunkan sebuah masyarakat bertamadun dan beradab.

Berbeza cara, matlamat sama

Tanda Islam kuat dan hebat adalah apabila non-Muslim berbondong-bondong masuk Islam secara sukarela sebagaimana yang terakam dalam sejarah umat Islam. Rasulullah s.a.w. berjaya membuka Makkah tanpa menitikkan setitis darah pun dan mengislamkan hampir seluruh isi manusia yang ada pada masa itu.

Begitu juga dalam siri ekspedisi lain yang merangkumi ekspedisi atas nama dakwah Islamiyah melebihi ghairah berperang dan menakluk serta merosakkan muka bumi. Semuanya dilakukan atas kesedaran akan amanah menyampaikan Islam kepada seluruh manusia sebagaimana yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Allah berfirman yang bermaksud: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), - Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, - Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (Surah al-Nasr, ayat 1-3)

No comments:

Post a Comment