Sunday 13 July 2014

[SOLUSI 70] Keutamaan empat tanah dalam al-Quran

AL-QURAN adalah rukun Iman yang wajib dipercayai secara ijmak dalam apa sahaja aliran akidah dan mazhab fiqh Islam. Ia adalah sumber tertinggi dan utama yang dikembarkan dengan al-Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Sebagaimana disebutkan sebelum ini, dalam al-Quran punya banyak kisah-kisah yang terdahulu bagi diambil iktibar yakni ibrah. Al-Quran juga membicarakan mengenai tanah dan lokasi-lokasi, negeri tertentu yang menjadi bukti kepada kisah-kisah umat dan tokoh terdahulu sekali gus menjadi bukti akan kekuasaan Allah jalla wa ala.

Paling tidak antara tanah yang jelas disebut dalam al-Quran mempunyai keutamaan dan kelebihan  adalah:-

Pertama: Kota Makkah dan Masjidil Haram,
Kedua: Madinah dan Masjid Nabawi, serta
Ketiga: Tanah Syam dan Baitul Maqdis,
Keempat: Tanah Mesir.

Dalam tulisan ini, kita akan mengimbau kalam Allah mengenai empat lokasi tersebut seterusnya melihat penafsiran ulama mengenai keutamaannya sebagaimana yang dicatat dalam kitab-kitab tafsir muktabar dan kontemporari.

Keutamaan kota Makkah 

“Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (antaranya) maqam Ibrahim; sesiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Sesiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” (Surah Ali Imran, ayat 96-97)

Ada beberapa ayat lagi yang membicarakan secara khusus mengenai Tanah Haram dan Masjidil Haram seperti dalam Surah Ibrahim, ayat 35; Surah al-Naml, ayat 91; Surah al-Qasas, ayat 57; Surah al-Ankabut, ayat 67 termasuk Surah al-Balad dan Surah al-Tin.

Namun ayat 96-97 dalam Surah Ali Imran di atas lebih tepat bagi dijadikan perbincangan dan rujukan mengenai kepentingan Tanah Haram dan Masjidil Haram yang dikenali sebagai Baitullahil Haram. Ia sesuai dengan pensyariatan menunaikan haji sebagai satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan bagi orang Islam yang berkemampuan.

Imam Ibn Kathir r.h. mensyarahkan secara panjang lebar kedua ayat di atas, selain daripada Allah sendiri menggunakan kalimah bakkah bagi merujuk kepada kota Makkah, di sana kota Makkah juga dikenali sebagai  al-Baitul ‘Atiq, al-Baitul Haram, al-Baladul Amin wa al-Ma’mum, Ummu Rahm, Ummul Qura, Shalah, al-‘Arsy, al-Qadis, al-Muqaddas, al-Nasah, al-Basah, al-Hathimah, al-Ra’s, Kautsa, al-Baldah, al-Bun-yah dan al-Ka‘bah.

Secara umum, yang menjadikan kota Makkah istimewa adalah kerana wujudnya Baitullah-Masjidil Haram-Kaabah. Allah mengatakan, Baitullah adalah rumah yang pertama dibangunkan bagi kepentingan seluruh umat manusia bagi beribadah. Makkah adalah kiblat solat dan satu-satunya lokasi ibadah haji dapat dilaksanakan dengan sah.

Keutamaan kota Madinah 

Banyak ayat al-Quran yang diturunkan di Madinah adalah ayat-ayat yang bersifat garis panduan pensyariatan dalam pelbagai aspek kehidupan seperti pentadbiran negara, hubungan kemasyarakatan, politik, undang-undang, perniagaan, ekonomi, peperangan dan lain-lain.

Kesemua landasan syariat tersebut kemudian dipraktiskan tuntas oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan diteruskan oleh sahabat Bagindan sehingga Islam terus berkembang dan berkembang.

Pemilihan kota Yathrib yang  kemudian ditukar menjadi Madinah yang berakar kata ‘Dīn’ sesuai dengan ayat terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Malah Allah telah berfirman khusus mengenai ketibaan Baginda ke Madinah yang bermaksud:

“Dan katakanlah: Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau hujjah dan kekuasaan yang menolong.” (Surah al-Israk, ayat 80)

Keutamaan Tanah Syam

Paling tidak ada tiga ayat yang menceritakan mengenai Tanah Syam yang secara umumnya adalah mengenai Palestine. Ketiga-tiga ayat tersebut pula berkongsi kalimah ‘bārakna’ yang bermaksud Kami berkati. Lihat di bawah:

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1)

“Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami berkatinya untuk sekalian manusia.” (Surah al-Anbiya’, ayat 71)

“Dan Kami seIamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami berkatinya untuk sekalian manusia.” (Surah al-Anbiya’, ayat 81)

Syam pada zaman Rasulullah s.a.w. bukan hanya Syria pada hari ini namun merangkumi banyak negara lagi seperti Palestine, Syria, Jordan, Iraq dan lain-lain. Ia di bawah kekuasaan Rom sehingga dibuka oleh orang Islam pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a.

‘Bārakna’ itu membawa maksud Allah banyak melahirkan para nabi dan rasul dalam daerah Syam dan juga tanah-tanah dalam Syam itu sendiri subur dengan pelbagai tumbuhan semula jadi.

Keutamaan Tanah Mesir

Ada empat ayat yang menceritakan mengenai keutamaan Mesir sesuai dengan konteks latar zaman tersebut. Dan pujian di sini bukanlah dari segi ketauhidan dan keagamaan namun kerana kemakmuran pemerintahan di Mesir pada masa itu meskipun Fir‘aunnya masih tidak beriman kepada Allah.

“Dan Fir‘aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat(nya)?” (Surah al-Zukhruf, ayat 51)

Fir‘aun amat takbur dengan kemakmuran yang dimiliki oleh Mesir dan merasakan tanah Mesir dan isinya adalah milik dirinya malah Fir‘aun itu juga telah mengakui dirinya sebagai tuhan. Ayat selebihnya boleh rujuk Surah Yusuf, ayat 21 dan 99 serta Surah Yunus, ayat 10.

Surah Yusuf adalah yang paling lengkap penceritaannya berbanding dengan kisah lain dalam al-Quran, bermula dari Nabi Yusuf kecil hinggalah menjadi seorang wazir yang hebat di Mesir. Memang Surah Yusuf sangat istimewa dan disebut sebagai ahsanal qasas, sepanjang Surah Yusuf, latar kisahnya banyak dirakam di Mesir selain Palestine.

Kesimpulan

Keempat-empat tanah ini merakam dan sedang mengandung terlalu banyak khazanah dan catatan sepanjang sejarah manusia khususnya tentang kebenaran wahyu Allah melalui Nabi dan Rasul serta makhluk-makhluk Allah yang tidak pernah kita ketahui susuk dan agama mereka.

Sebahagian daripada tanah yang disebut di atas selain berada di tangan musuh pada masa kini, ia terus kacau-bilau dan porak-poranda. Sehingga ia kembali gagah dan bersatu, kita perlu berfikir dan mengambil segala ruh keilmuan dan ibrah yang ditinggalkan di empat tanah berkat tersebut.

No comments:

Post a Comment